Halaman

Rabu, 21 September 2011

Satelit Terhempas Jumaat, Lokasi Masih Samar

KUALA LUMPUR – Pihak pentadbiran angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) atau NASA menjangkakan Satelit Nasa Upper Atmosphere Research Satellite (UARS) seberat 6 tan yang kini bergerak tanpa kawalan terhempas ke permukaan bumi pada hari Jumaat ini.
Walaupun ahli-ahli sains NASA telah mengesahkan tarikh satelit itu terhempas,tetapi mereka masih belum dapat memastikan di manakah lokasi ia akan terhempas dengan tepat sehingga dua jam sebelum ia berlaku.

Saintis NASA berkata, pada asalnya mereka menjangkakan ia akan terhempas pada hari Sabtu namun mengubah jangkaan itu.

Menurut NASA, satelit berusia 20 tahun itu dijangka terhempas di kawasan antara Alaska dan Amerika Selatan.

Para sainstis NASA meletakan peluang 1 dalam 3,200 untuk serpihan satelit itu menimpa sesiapa.

Mereka menganggarkan sebahagian besar satelit itu akan terbakar hangus sebaik masuk ke sistem atmosfera bumi.

UARS kehabisan bahan bakar pada 2005 dan akan jatuh tanpa kawalan. Dianggarkan hanya 544 kilogram besi yang akan bertahan ketika ia terhempas.

Satelit ini adalah lebih kecil daripada Stesen Angkasa Mir (seberat 135 tan) yang jatuh ke bumi pada 2001 atau Skylab seberat 100 tan yang terhempas pada 1979.

Stesen Mir jatuh ke Pasifik Selatan manakala Skylab pula jatuh ke Lautan Hindi dan sebahagian daripada serpihannya bertaburan sekitar kawasan Australia Barat.

Disebabkan dua pertiga bumi diliputi air, maka serpihan dari angkasa kerap kali akan jatuh ke dalam kawasan berair.

NASA juga mengingatkan kepada orang ramai, jika terjumpa serpihan yang mungkin adalah serpihan dari satelit UARS, agar tidak menyentuhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan